suria

Bintang realiti TV maut akibat tergelincir ketika keluar dari tab mandi

Kristina Belaya maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala. -Foto Instagram

PERSONALITI media sosial dan bintang realiti TV Rusia, Kristina Belaya, dilaporkan maut selepas tergelincir di dalam tab mandi dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Belaya, 24, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh teman lelakinya di bilik air rumahnya pada 30 Mei lalu. 

Menurut laporan pihak penyiasat, Belaya mengalami kecederaan serius di kepala serta beberapa kesan lebam di badan, namun tiada tanda-tanda pergelutan ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Belaya dipercayai tergelincir sewaktu keluar dari tab mandi.

Teman lelakinya turut memaklumkan kepada pihak polis bahawa sebahagian struktur tab mandi itu kelihatan runtuh ketika dia menemui mayat mendiang.

Kristina Belaya mula dikenali ramai selepas muncul dalam rancangan temu janji popular Rusia, Dom-2, dan berjaya mengumpul lebih 12,000 pengikut di media sosial.

Belaya dilaporkan meninggalkan rancangan tersebut selepas menjalin hubungan dengan seseorang di luar program itu.

Berita kematiannya ternyata mengundang kesedihan dalam kalangan peminat, yang membanjiri akaun media sosial mendiang dengan ucapan takziah dan penghormatan terakhir.

Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan, namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa kematian Belaya tidak dianggap mencurigakan setakat ini. -Agensi

Artikel Lain