suria

Pisau tercacak di dada, wanita warga emas maut ditikam suami selepas bertengkar

Suspek tidak melarikan diri selepas menghubungi polis. -Foto Khaosod

PERTENGKARAN antara sepasang suami isteri warga emas berakhir dengan insiden tragis apabila wanita berkenaan ditikam hingga maut di rumah mereka dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin. 

Mangsa yang berusia 77 tahun dan menghidap demensia, didakwa ditikam oleh suspek selepas berlaku pertelingkahan antara mereka.

Menurut polis, pihaknya menerima panggilan yang dibuat oleh suspek sendiri pada pukul 4.00 petang, sebelum bergegas ke lokasi kejadian iaitu rumah pasangan berkenaan yang terletak di mukim Bang Khun Si, Bangkok, Thailand. 

Ketika tiba di rumah dua tingkat yang didiami pasangan berkenaan, polis menemui mangsa dalam keadaan terlentang dengan sebilah pisau masih tercacak pada dada kirinya, manakala suspek pula tidak melarikan diri.

Hasil siasatan juga mendapati tiada tanda-tanda pergelutan di dalam rumah.

Ketika disoal siasat, suspek yang berusia 69 tahun mendakwa mangsa kerap menjadi pelupa selain mengalami perubahan 'mood' menyebabkan mereka sering bertelingkah. 

Pada hari kejadian, suspek memberitahu mangsa tergelincir dan terjatuh di dalam bilik air menyebabkan berlaku pertengkaran hebat antara mereka.

Dalam keadaan marah, dia mengambil pisau dan menikam mangsa sehingga maut, sebelum bertindak menghubungi polis untuk melaporkan kejadian tersebut. 

Suspek kini ditahan manakala mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat. -Agensi 

Artikel Lain