GARA-GARA menyembur guru dengan pistol air, seorang murid bukan sahaja ditampar malah turut ditakutkan akan dicampak keluar dari tingkap.
Insiden itu melibatkan murid lelaki berusia 10 tahun, dikenali sebagai Ranran, dengan guru matematiknya, Lin, 59, ketika waktu rehat.
Menurut Lin, Ranran menyemburnya kerana tidak diberikan ganjaran gula-gula pada April lalu atas sebab kelakuan yang tidak memuaskan.
Kejadian dilaporkan berlaku di sekolah rendah di wilayah Zhejiang di China.
Marah dengan tindakan pelajar itu, Lin membawa Ranran ke pejabat dan semasa melalui koridor, Lin berpura-pura menakutkan Ranran dengan menyeretnya ke tingkap dan membuat gerakan seolah-olah mahu menolaknya keluar.
Namun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Ranran meronta-ronta sebelum Lin melepaskannya dan menariknya pergi sambil memegang kolar bajunya.
Apabila Ranran pulang ke rumah, bapanya, Chen, menyedari kesan lebam dan bengkak pada muka dan badan anaknya.
“Anak saya beritahu Lin menamparnya beberapa kali. Saya berdepan Lin keesokan harinya, tapi dia menafikannya,” katanya.
Beberapa rakan sekelas turut mengesahkan tindakan kasar guru tersebut. Chen kemudian membuat laporan kepada Biro Pendidikan tempatan dan pihak polis.
Pada 18 Mei, pihak berkuasa mengesahkan bahawa Lin menggunakan hukuman yang tidak wajar dan membahayakan keselamatan pelajar.
Lin menerima teguran rasmi dan dikenakan tahanan pentadbiran selepas memohon maaf kepada Ranran dan ibu bapanya.
“Saya telah mengajar selama 40 tahun dan sentiasa menganggap pelajar seperti anak sendiri. Saya tidak pernah berniat mencederakan Ranran,” kata Lin.
Mengikut undang-undang China, sebarang bentuk hukuman fizikal atau tindakan yang merendahkan maruah pelajar adalah dilarang.
Kejadian itu bukan pertama di China kerana pada September 2023, seorang guru di wilayah Hunan didapati bersalah selepas melempar objek ke arah pelajar hingga menyebabkan kecederaan parah.
Guru tersebut dijatuhi hukuman penjara dan diharamkan daripada mengajar kanak-kanak di bawah umur. -Agensi


