KEGEMBIRAAN seorang lelaki mempamerkan ikan gergasi yang berjaya dipancingnya di belakang kereta membawa padah apabila dia disaman trafik.
Pihak berkuasa menyedari kesalahan itu selepas tular video di media sosial yang menunjukkan pemancing itu mengikat kepala dan ekor ikan di belakang kereta sebelum memandu di sekitar bandar pada 15 Mei.
"Ikan itu berukuran sekitar satu meter panjang dan dianggarkan beratnya lebih 30 kilogram (kg)," kata seorang lelaki bernama Ji, yang menyaksikan kejadian itu.
Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Guangxi Zhuang di China.
Rakan kepada pemancing yang namanya tidak didedahkan berkata hasil tangkapan itu seberat 39.5kg.
"Dia dan keluarga memakan ikan itu pada hari yang sama, dengan menjadikan sebahagian besarnya sebagai bebola ikan," katanya.
Seorang pegawai trafik berkata mereka meminta pemandu itu datang ke balai polis untuk menerima hukumannya.
"Tingkah laku buruknya akan membawa kesan negatif kepada orang ramai. Kami masih membuat keputusan sama ada untuk memotong mata daripada lesen memandunya atau mendendanya," kata pegawai itu.
Peraturan Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya China menetapkan bahawa pemandu tidak boleh menggantung objek lebih panjang daripada 0.5 meter di bahagian luar kenderaan mereka demi kepentingan keselamatan.
Lelaki itu bukan satu-satunya individu di China yang dikenakan hukuman atas tindakan sedemikian.
Pada 2023, seorang lelaki di timur wilayah Shandong dihukum kerana menggantung seekor ikan seberat kira-kira 10kg di luar keretanya untuk menunjuk-nunjuk.
Polis mendenda lelaki itu sebanyak 200 Yuan (kira-kira RM117) dan sembilan mata telah dipotong daripada lesen memandunya kerana ikan itu menutup nombor pendaftaran kenderaan. -Agensi


