suria

Wanita perdaya 25 lelaki, berlakon jadi isteri sebelum rompak harta... Ada yang buat pinjaman belanja kahwin

Anuradha Paswan mengumpan lelaki mengahwininya semata-mata ingin merompak harta benda mangsa. -Foto NDTV

SEORANG wanita ditahan susulan dakwaan memperdaya mangsanya dengan perkahwinan palsu.

Anuradha Paswan, 32, dikatakan kerap bertukar-tukar pasangan dengan tujuan merompak'' harta benda suaminya.

Dia dikesan menggunakan taktik yang serupa apabila tampil dengan identiti baharu selain hebat menyamar sebagai menantu ideal di hadapan suami dan mentuanya.

Vishnu Sharma, salah seorang mangsa dikatakan sanggup membuat pinjaman semata-mata ingin berkahwin dengan suri hatinya itu pada 20 April lalu, termasukl membayar kadar upah Rs 2 lakh (RM10,030) kepada tukang pencari jodoh.

Sebaik sahaja memasuki tempoh dua minggu perkahwinan, Paswan dikesan melarikan sejumlah barang kemas bernilai Rs 1.25 lakh (RM6,268), wang tunai serta telefon bimbit, masing-masing berjumlah Rs 30,000 (RM1,504).

"Saya mengusahakan gerabak dan mengambil pinjaman kerana hendak berkahwin. Malah, saya turut meminjam sebuah telefon bimbit, namun diambilnya juga," luahnya yang sama sekali tidak menyangka isterinya akan bertindak sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin perempuan rupanya ‘wanita jadian’! Akhirnya mohon maaf, bayar pampasan kepada pihak lelaki selepas kantoi

Mengimbau malam kejadian, Sharma menyifatkan dirinya yang pulang lewat dari kerja terus tertidur setelah makan malam.

"Kebiasaannya tidur saya tidak nyenyak sebegitu, tetapi malam itu saya tidur seperti seorang bayi, seolah-olah diberikan ubat tidur," dakwanya.

Untuk rekod, Paswan yang telah memperdaya kira-kira 25 lelaki, akhirnya tumpas selepas seorang polis menyamar untuk berkahwin dengannya.

"Setelah disiasat, kesemua dokumen dan perjanjian perkahwinan ternyata palsu. Kami telah menghantar seorang konstabel untuk berlakon sebagai calon pengantin bagi mengumpan wanita itu untuk berkahwin," ujar pegawai polis. -Agensi

Artikel Lain