SEORANG doktor menjadi perhatian ramai selepas mencadangkan wanita yang mengalami kekurangan tenaga atau kekurangan darah seharusnya melihat lelaki berotot untuk meningkatkan mood dan melegakan tekanan mereka.
Menerusi video yang tular di media sosial, nasihat itu disampaikan oleh He Zhenye, pakar sakit puan di Hospital Universiti Sains dan Teknologi Huazhong Xiehe Shenzhen di Shenzhen, selatan China.
He secara tersebuka mengesyorkan bahawa 'wanita harus melihat lelaki berotot lebih kerap untuk menghilangkan tekanan'.
Doktor berkenaan mempunyai lebih 133,000 pengikut di platform media sosial yang mana beliau kerap berkongsi pandangan profesional tentang kesihatan wanita dan penjagaan ginekologi.
Profil beliau juga menyatakan bahawa dirinya merupakan pakar dalam diagnosis piawai dan rawatan keadaan ginekologi jinak biasa dan tumor ginekologi.
Menurut He, wanita yang mempunyai qi, atau tenaga vital, dan kekurangan darah sering mengalami mood yang rendah dan tahap tekanan yang tinggi.
Bagi membantu mengawal keadaan fizikal dan mental wanita sedemikian, dia mengesyorkan menggunakan 'keseronokan visual' sebagai ubat.
Nasihat beliau itu termasuk mengurangkan ketegangan emosi melalui 'mengelakkan hubungan romantis yang berlebihan', dan meningkatkan rangsangan visual yang positif dengan 'melihat lelaki yang lebih berotot'.
Beliau menjelaskan bahawa berbuat demikian boleh merangsang pengeluaran dopamin dalam otak, yang membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood seseorang.
He turut memberitahu, kajian menunjukkan bahawa keseronokan visual boleh meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan, terutama bagi wanita yang mengalami masalah tidur atau keletihan akibat kerja berlebihan.
Menerusi video lain, He juga memberikan nasihat yang tidak konvensional, seperti mengesyorkan wanita memakai lebih banyak perhiasan emas, yang memetik kepercayaan perubatan tradisional Cina bahawa emas memberi manfaat kepada jantung dan menyuburkan limpa. -Agensi