suria

Tak tahan dengar anjing jiran menyalak, lelaki lepaskan dua ekor ular di koridor kondominium

Dua ekor ular dilepaskan di kawasan koridor bagi menakutkan anjing.

SELEPAS dua tahun menahan sabar dengan bunyi bising anjing menyalak, seorang penghuni sebuah kondominium melepaskan dua ekor ular bersaiz besar di koridor pada Isnin.

Tujuan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk memberi amaran kepada jiran yang membela anjing berkenaan.

Selain itu ia juga sebagai peringatan kepada pihak pengurusan kondominium di Bangkok, Thailand itu kerana tidak mengendahkan aduan yang dibuatnya selama ini. 

Insiden itu diketahui selepas pelaku menyiarkan video dua ekor ular menyusur di kawasan karidor menerusi Facebook.

"Hari ini saya bawa dua ekor. Esok saya bawa lebih banyak. Saya tidak dapat membawa yang lebih besar hari ini," tulisnya.

Warga maya mengecam pengurusan kondominium kerana tidak mengambil tindakan selepas aduan dibuat.

"Jika mereka hanya mendenda pemilik ular dan bukannya pemilik anjing, mereka mungkin akan menemui ular di pejabat mereka," kata netizen.

Lelaki itu berkata dia telah mengadu selama bertahun-tahun tanpa sebarang hasil dan memohon maaf kepada jiran yang tidak terlibat dalam isu berkenaan.

Pihak pengurusan kemudiannya mendenda pemilik anjing sebanyak 10,000 baht (sekitar RM1,300) kerana melanggar peraturan dan turut mengarahkan haiwan itu dibuang.

Sementara pemilik ular pula menerima amaran bertulis dan diarah mengeluarkan ular tersebut daripada kondominium itu.-Agensi

Artikel Lain