suria

Wanita rancang pembunuhan kejam! Lepas bunuh ibu, anak kandung pula jadi korban... Mayat dikerat, disiat sebelum bakar

Suspek berdepan pertuduhan di bawah kesalahan pembunuhan terancang. -Foto Kompas.

SEORANG lelaki ditahan bersama anak perempuannya selepas dipercayai terbabit dalam merancang dua pembunuhan pada Isnin.

Suspek lelaki dikenali sebagai C dan anaknya, YR yang masing-masing berusia 53 tahun dan 32 tahun itu didakwa membunuh Lilis, 51 dan Nur, 3 dengan kejam.

Lebih menyedihkan mangsa adalah isteri dan ibu kepada kedua-dua suspek, manakala Nur pula adalah anak kepada YR yang juga cucu kepada C.

Kedua-dua mereka adalah penduduk Kabupaten Cianjur di Jawa Barat, Indonesia.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Cianjur, Tono Listianto, berkata C mengaku membantu anaknya membunuh kerana dibebani hutang sebanyak Rp90 juta (sekitar RM24,801).

"Selepas membunuh isterinya, suspek menjual barang kemas milik mangsa.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kepada siapa hutang itu diberikan dan tujuan sebenar pinjaman tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, Tono berkata tindakan mereka sangat kejam, dengan mangsa dikerat kepada beberapa bahagian. 

“Sebelum dibuang, tubuh mangsa terlebih dahulu disiat dan dibakar bagi menghilangkan bukti.

"Pelaku utama ialah YR. Selain mahu menguasai harta milik mangsa, dia juga menyimpan dendam terhadap sikap dan layanan ibunya selama ini,” ujar Tono.

Lebih tragis, YR turut membunuh anak kandungnya sendiri kerana bimbang perbuatannya akan terbongkar.

Kedua-dua mereka kini berdepan pertuduhan di bawah kesalahan pembunuhan terancang dan berkemungkinan dikenakan hukuman mati jika disabitkan bersalah.-Agensi

Artikel Lain