DEMI mengejar populariti, segelintir individu sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan nyawa sendiri.
Berawal daripada konten, seorang remaja hanyut dibawa arus deras sewaktu menjayakan video bersama empat rakannya.
Saksi kejadian, Ismet Niu mendakwa mangsa bersama rakannya melompat ke dalam sungai secara bergilir-gilir yang dipercayai menjadi sebahagian daripada kandungan video.
"Pada mulanya mereka berenang, diikuti dengan lompatan. Mangsa, Fauzan Ghani merupakan individu terakhir yang melompat," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Cuti di pulau bertukar tragedi... Pelajar lemas diheret ombak besar, kawan hanya mampu rakam detik mangsa terapung
Aksi tersebut membuatkan rakan-rakannya tidak menyedari mangsa kemungkinan lemas sehinggalah kelibatnya tidak kelihatan di permukaan air.
"Fauzan dikatakan sempat timbul ke permukaan air, jadi mereka ingat semuanya selamat. Sebaik sahaja kelibatnya hilang, mereka panik dan menjerit minta tolong," dedah Rony, saksi lain kejadian.
Susulan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama warga tempatan giat menjejaki remaja 15 tahun itu selain meluaskan radius pencarian, termasuklah memeriksa spot tertentu seperti kawasan semak dan tebing di sepanjang sungai.
"Belum ada tanda-tanda keberadaan mangsa," kata salah seorang petugas sekitar 12.25 waktu tempatan.
Bagaimanapun, pasukan menyelamat menjumpai sehelai baju yang dipercayai miliknya tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat.
Difahamkan, arus Sungai Bolango, Indonesia yang sebelumnya kelihatan tenang tiba-tiba bertukar deras ekoran hujan lebat yang melanda daerah itu sejak beberapa hari lalu.-Agensi