SEORANG wanita ditahan kerana menjalankan perniagaan menjual pendakap gigi secara dalam talian tanpa lesen pergigian sah, dengan menyasarkan pelajar sebagai pelanggan.
Suspek berusia 25 tahun ditahan di sebuah bilik bersama pelbagai alat dan peranti berkaitan pergigian.
Polis mendapati wanita itu menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang perlindungan pengguna, termasuk menjual barangan terlarang iaitu pendakap gigi fesyen, serta mengamalkan rawatan pergigian tanpa lesen.
Siasatan awal mendapati suspek mempromosikan perkhidmatan tersebut melalui media sosial dan menjalankan operasi di wilayah Phitsanulok, Thailand.
Antara barangan yang dirampas pihak berkuasa. -Foto KhaoSod.
Harga yang ditawarkan bagi perkhidmatan berkenaan antara 1,000 hingga 1,500 baht (sekitar RM130 hingga RM200).
Ejen penyamaran membuat tempahan, memindahkan wang pendahuluan ke akaun bank suspek, dan mendapatkan temu janji sebelum suspek ditahan.
Dalam soal siasat, wanita tersebut mengaku membeli pendakap gigi dari kedai dalam talian dan menjualnya semula tanpa kelayakan pergigian profesional.
Suspek dan barangan yang dirampas telah diserahkan kepada Balai Polis Mueang Phitsanulok untuk tindakan undang-undang lanjut. -Agensi