SEBUAH kapal layar latihan milik Tentera Laut Mexico yang dihiasi lampu dan membawa bendera gergasi negara itu merempuh Jambatan Brooklyn, mengakibatkan sekurang-kurangnya 19 cedera dalam insiden di perairan East River, berhampiran Manhattan pada Sabtu malam.
Datuk Bandar New York City, Eric Adams, berkata kejadian berlaku ketika kapal latihan Cuauhtemoc yang membawa 277 penumpang, termasuk kadet tentera laut Mexico, menghampiri jambatan ikonik tersebut.
Kapal berkenaan mempunyai tiang layar setinggi 147 kaki (kira-kira 45 meter) yang terlalu tinggi untuk melepasi lengkungan jambatan.
Rempuhan itu menyebabkan bahagian atas tiang kapal tersangkut dan terpotong, sekali gus mencetuskan suasana panik dalam kalangan mereka di atas kapal.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan detik kapal itu mendekati Jambatan Brooklyn sebelum ia merempuh strukturnya.
Beberapa kadet berpakaian seragam putih kelihatan tergantung pada palang kapal selepas insiden.
Menurut pegawai bandar raya, semua mangsa yang cedera berada di atas kapal dan tiada penumpang yang terjatuh ke dalam air.
Empat mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius, namun tiada kematian direkodkan setakat ini.
Difahamkan, kapal tersebut sedang meninggalkan pelabuhan dan dalam perjalanan ke Iceland ketika kejadian.
Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada masalah mekanikal, namun siasatan penuh akan dijalankan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) yang kini berada di lokasi kejadian.
Jambatan Brooklyn yang ditutup sementara susulan nahas itu telah dibuka semula selepas pemeriksaan awal oleh Jabatan Pengangkutan New York City (NYDOT) mengesahkan tiada kerosakan struktur dikesan. -Agensi