SEBUAH rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang pembantu rumah menampar majikannya tular di media sosial sejak Sabtu.
Dalam video itu, pelaku yang juga seorang wanita berhijab dilihat menampar majikannya sebelum seorang jiran datang meleraikan mereka.
Pembantu rumah yang hanya dikenali sebagai MC itu dipercayai bertindak kasar kerana tidak berpuas hati dengan arahan majikannya.
Ia berlaku di Desa Kepara Kulon, Jawa Tengah, Indonesia.
Sebelum ini, ketegangan antara mereka bermula apabila MC menghantar mesej WhatsApp yang mengandungi kata-kata kesat kepada ibu majikannya.
Majikan wanita itu memaklumkan dia cuba menyelesaikan masalah antara mereka secara baik, namun tidak berjaya.
“Dia pernah ugut saya. Katanya kalau dia marah, dia boleh bertindak kasar terhadap sesiapa saja,” katanya.
Keluarga itu turut memiliki bukti rakaman CCTV yang menunjukkan MC bertindak kasar terhadap anak mereka.
Difahamkan, MC baru sahaja bekerja di rumah keluarga itu selama tiga minggu. -Agensi