ZOO Terbuka Khao Kheow di Chon Buri, Thailand tampil dengan pendekatan kreatif membantu haiwan-haiwan berdepan cuaca panas melampau.
Menerusi program Animal Enrichment, zoo itu melancarkan inisiatif dengan menyediakan snek berais bagi membantu haiwan menyesuaikan diri dengan suhu tinggi.
"Ini bukan sekadar usaha untuk menyejukkan badan. Aktiviti ini boleh membantu haiwan menghadapi cuaca panas dan menggalakkan tingkah laku semula jadi yang penting untuk kesejahteraan fizikal dan mental mereka," jelas Pengarah Zoo, Narongwit Chodchoi.
Setiap haiwan diberikan juadah khas mengikut spesies.
Ungka dan siamang dijamu dengan buah tropika sejuk manakala beruang matahari serta beruang hitam Asia diberi campuran buah-buahan yang digaul dengan madu.
Orang utan dan cimpanzi pula meneroka ketulan buah beku yang padat dengan nutrien.
Tahun ini, zoo tersebut turut memperkenalkan kempen mesra alam Green Ice Treat dengan menyajikan snek sejuk dalam bekas buluh bagi menggantikan plastik.
Selain mengurangkan sisa buangan, bekas biodegradasi itu turut dijadikan mainan, sekali gus merangsang haiwan untuk menjilat, menghidu dan meneroka secara semula jadi. - Agensi.