SEJUMLAH besar penduduk Gaza dilihat berjalan kaki untuk pulang ke Rafah selepas tentera Israel beransur-ansur meninggalkan tanah Palestin.
Perkembangan itu susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara pejuang Palestin, Hamas dan tentera Israel, berkuat kuasa pada Ahad (19 Februari).
Namun, di sebalik perjanjian itu, tragis apabila melihat pemandangan sekitar Rafah, di selatan semenanjung Gaza di mana bandar itu kini ibarat padang jarak padang tekukur.
Kebanyakan infrastruktur musnah menyembah bumi akibat dibedil tentera Israel yang tidak perikemanusiaan dengan serangan bertali arus dilancarkan sejak Oktober 2023.
Dilaporkan, gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada pukul 11.15 pagi (waktu tempatan), lewat tiga jam dari waktu dipersetujui selepas Israel dikatakan cuba melengah-lengahkan proses.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan meminta Hamas memberikan terlebih dahulu senarai nama tawanan yang akan dibebaskan sebelum gencatan senjata bermula.
Menurut jurucakap Hamas, senarai nama tawanan itu lewat diberikan kerana kempen pengeboman rejim Zionis yang dibuat tanpa henti.
"Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam sudah menyerahkan nama tiga tawanan kepada Israel yang bakal dibebaskan pada hari pertama gencatan senjata," ujarnya.
Sementara itu, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah dijangka menelan kos lebih 1 trilion dolar AS (RM4.5 trilion).
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu sidang media berkaitan liputan lawatannya ke United Kingdom.