SEORANG individu maut manakala seorang lagi cedera parah akibat insiden tikam berpunca daripada salah faham berkaitan aduan bunyi bising.
Susulan itu seorang suspek berusia 43 tahun ditahan bersama pisau berukuran tujuh inci bagi membantu siasatan dalam kejadian pada Ahad (19 Januari).
Difahamkan insiden berdarah itu berlaku berhampiran daerah Soi Phatthanakan, Thailand.
Jurucakap balai polis Khlong Tan, Kolonel Wachirakorn Wongboon berkata, anggota peronda mereka menerima laporan orang awam tentang pergaduhan yang melibatkan 10 lelaki.
Dua individu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Petchwet untuk menerima rawatan lanjut.
Seorang mangsa berusia 37 tahun ditikam dekat dada, keadaannya sedang distabilkan di hospital, manakala seorang lagi mangsa berumur 29 tahun gagal diselamatkan kerana ditikam berkali-kali pada badannya.
Ketegangan tercetus apabila suspek bersama enam lagi individu sedang melepak, kemudian seorang individu menghampiri mereka meminta untuk memperlahankan suara kerana terlalu bising.
Pada mulanya situasi dapat diselesaikan dengan baik, namun lelaki yang membuat aduan itu kembali bersama rakan-rakannya untuk menyerang kumpulan terbabit.
Suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menikam dua mangsa sebanyak beberapa kali.
Siasatan sedang dijalankan dan suspek akan didakwa di mahkamah kerana menikam sehingga menyebabkan kecederaan parah. -Agensi