SEORANG lelaki ditikam dengan pisau oleh jirannya kerana bengang dengan bunyi ekzos motosikal pada Jumaat. Dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, mangsa memanaskan enjin motosikalnya kerana ingin dijual secara tunai semasa penghantaran (COD). Tindakan mangsa berusia 39 tahun itu mendapat bantahan jiran tetangganya kerana terlalu bising. Mangsa menjelaskan sebelum ini tidak pernah ada sesiapa pun mengadu dan membantah tindakannya memanaskan enjin motosikal. Kejadian berlaku di Tambora, Jakarta Barat, Indonesia. Ketua Polis Metro Tambora, Komisioner Donny Agung Harvid berkata jawapan pemilik motosikal itu menyebabkan suspek berang dan menyerangnya. "Pelaku segera membaling botol minuman ke arah mangsa sehingga berlaku pertengkaran dan dia memukul mangsa. "Ketika keadaan semakin hangat, pelaku kedua campur tangan dengan mengambil pisau di gerai dan menikam mangsa dua kali di punggung," katanya. Mangsa yang cedera terjatuh dan segera dibantu isterinya untuk dibawa ke Pusat Kesihatan Tambora. Bagaimanapun, keadaan kecederaan yang serius menyebabkan mangsa dirujuk ke Hospital Tarakan untuk rawatan lanjut.- Agensi