suria

Misteri kehilangan remaja perempuan terjawab, mayat ditemukan reput di warung terbiar… Polis dedah motif pembunuhan

Seorang remaja lelaki (kiri) ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh pelajar perempuan di Lamongan. -Foto Detik

SEORANG pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dibunuh oleh rakan sekelasnya, gara-gara menolak cinta remaja berkenaan.

Memetik laporan media tempatan, mangsa pada mulanya dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat minggu lalu (10 Januari), sebelum keluarganya membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Kehilangan mangsa akhirnya terjawab dengan penemuan mayat reput di sebuah warung kopi terbiar di Kompleks Perumahan Made Great Residence, Lamongan, Jawa Timur, pada Rabu lalu (15 Januari).

Ketua Polis Lamongan, AKBP Bobby A Condroputra berkata, hasil bedah siasat dan pengecaman yang dilakukan ahli keluarga, identiti mayat reput tersebut sepadan dengan mangsa.

Ujarnya, kurang 24 jam selepas penemuan mayat tersebut, polis yang menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian, akhirnya berjaya memberkas suspek di rumahnya.

"Daripada hasil soal siasat, suspek mengaku sakit hati kerana cintanya ditolak mangsa.

"Suspek berkata dia memukul perut mangsa, menghantukkan kepalanya ke dinding, malah menggunakan tudung mangsa untuk menjerut leher.

"Pembunuhan dilakukan pada 10 Januari, sehari sebelum mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya,"kata Bobby.

Suspek yang juga berusia 16 tahun, didakwa mengikut Fasal 80 ayat 3 Undang-Undang Republik Indonesia serta Fasal 340 dan 338 Kanun Jenayah kerana melakukan pembunuhan terancang, dan jika sabit kesalahan bakal berdepan hukuman maksimum 15 tahun penjara.

Artikel Lain