suria

Kek coklat punca keracunan makanan, kanak-kanak 10 tahun maut selepas sambut hari lahir

Manvi menyambut hari lahirnya yang ke 10 pada 24 Mac. -Foto NDTV

SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menikmati kek ulang tahun kelahirannya yang ke-10 di Patiala, Punjab, India.

Menurut datuk mangsa, Harban Lal, kanak-kanak yang dikenali sebagai Manvi itu tidur selepas dia diraikan oleh keluarganya dalam acara berkenaan.

Mangsa sempat meminta air dan mengadu mulutnya kering selepas bangun daripada tidur.

Manvi kemudiannya kembali melelapkan mata dan hanya dibawa ke hospital pada esok pagi gara-gara keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

WhatsApp Image 2024-04-02 at 12.12.32

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. -Foto NDTV

Ahli keluarga mendakwa kek coklat itu dibeli secara dalam talian daripada sebuah kedai di Patiala.

Ahli keluarga mangsa turut mengalami simptom keracunan makanan selepas mereka menikmati kek yang sama dalam acara itu.

Pihak hospital melakukan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu, malah sampel daripada kek itu juga telah dihantar untuk ujian.

Sebelum kejadian itu, ahli keluarganya sempat berkongsi video sambutan hari lahir Manvi di media sosial. -NDTV

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain