suria

Pemandu e-hailing culik, peras ugut penumpang hampir RM30,000... Rupanya sebab terdesak nak kahwin

Suspek yang merupakan pemandu e-hailing berjaya ditahan selepas menculik dan mengugut seorang penumpangnya. -Foto Serambinews

SEORANG pemandu perkhidmatan e-hailing ditahan kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang penumpangnya.

Menurut Ketua Polis Jakarta Barat, Pesuruhjaya M Syahduddi, pemandu bernama Michael Gomgom, 30, mengugut seorang penumpang yang dikenali sebagai Cindy Pangestu selepas menjemput wanita itu dari sebuah pusat beli-belah pada 25 Mac lalu.

"Motif utama penjenayah mengugut dan meminta wang kerana terdesak untuk berkahwin dengan teman wanitanya," kata Syahduddi.

Syahduddi menambah, suspek dikatakan mempunyai rancangan untuk mengahwini teman wanitanya pada bulan ini (April).

Difahamkan, selepas mengambil mangsa, suspek memandu seperti biasa sebelum bertindak mengubah haluan.

Suspek memberitahu mangsa bahawa dia mengalami sesak nafas namun rupa-rupanya ia hanyalah helah untuk memeras ugut mangsa.

Suspek meminta wang berjumlah IDR 100 juta (RM29,637) daripada mangsa dan mengugut untuk mencampaknya ke dalam sungai jika permintaannya tidak dipenuhi.

Mangsa kemudian bertindak berani dan membuka pintu kereta ketika kenderaan tersebut sedang bergerak dengan perlahan sebelum meminta pertolongan daripada orang sekeliling. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain