suria

Melancong bertukar tragedi, lebih 35 rakyat Malaysia cedera dalam nahas bas di Thailand

Pihak polis memeriksa bas persiaran yang terbabas. -Gambar Piyarat Chongcharoen/ Bangkok Post

KEGEMBIRAAN sekumpulan pelancong Malaysia bertukar tragedi apabila seramai 37 orang cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas di daerah Bo Phloi di Kanchanaburi, Thailand pada Khamis.

Polis berkata, kejadian berlaku di antara kilometer (KM) 14 dan 15 di Jalan Bo Phloi-Lat Ya, kira-kira pukul 1.30 tengah hari Khamis.

Pihak polis dan pasukan penyelamat serta pegawai perubatan bergegas ke lokasi kejadian.

Seramai 39 orang termasuk 37 rakyat Malaysia yang menaiki bas persiaran itu cedera, antaranya mengalami kecederaan parah.

Pasukan penyelamat berada di lokasi kejadian. -Gambar Piyarat Chongcharoen/ Bangkok Post

Mengimbas kembali kejadian itu, pemandu bas, Sarayu Daengdam, 44, berkata, ketika itu dia membawa pelancong ke Taman Safari Bo Phloi sebelum menuju ke sebuah restoran di pusat bandar di daerah Mueang.

Sarayu berkata, dia cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kumpulan itu sedang mengikuti lawatan ke Thailand dari 21 hingga 24 Februari. -Bangkok Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain