suria

Budak 2 tahun dikurung dalam sangkar anjing, ibu mengaku mahu disiplinkan anak

Seorang anak dikurung dalam sangkar anjing.

SEORANG ibu muda menggemparkan ramai apabila didakwa melakukan serangan fizikal dan mengurung anak perempuannya yang berusia dua tahun di dalam sangkar anjing.

Perbuatan ibu berusia 17 tahun itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kejadian berlaku di kediamannya di Plutaluang, Sattahip di Thailand, pada Isnin lalu.

Rakaman menyayat hati itu menggemparkan media sosial, sehingga mencetuskan tindakan pantas daripada pihak berkuasa tempatan.

Pihak polis Plutaluang, diiringi ketua kampung Chanchai Nijasin dan pegawai lain, segera melancarkan siasatan di tempat kejadian.

Chanchai mendedahkan bahawa remaja itu mengaku mengurung anaknya di dalam sangkar anjing.

Bagaimanapun, dia mendakwa tindakannya itu bertujuan membetulkan tingkah laku nakal kanak-kanak itu dan menarik perhatian bapa mangsa, bukannya mendatangkan kemudaratan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu kerap bermain dengan anjing keluarga dan kadangkala memasuki sangkar anjing secara sukarela.

Si ibu menyifatkan anaknya sebagai degil, dengan mengajarnya untuk berdisiplin.

Pihak berkuasa tidak menemui tanda-tanda kecederaan fizikal pada kanak-kanak itu semasa pemeriksaan dijalankan.

Memetik Pattaya Mail, ibu tiri kepada remaja berusia 17 tahun itu mendedahkan bapa kanak-kanak itu mempunyai isu undang-undang dengan anak tirinya berhubung perkara bawah umur sehingga menyebabkan mereka berpisah.

Tambahnya, ibu muda itu mengaku mendisiplinkan anak itu kerana dianggap nakal.

Berikutan itu, si bapa berkongsi rakaman CCTV di media sosial untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap ibu muda itu.

Kolonel Polis Plutaluang, Superintendan Khomsan Kamtunkaew mendedahkan kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan Pusat Perlindungan Kanak-Kanak dan Keluarga di Chon Buri untuk penilaian psikologi.

Ibu muda itu, bersama ibu tiri dan bapa kandungnya kini dalam siasatan polis. - Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain