SEBENTUK cincin bernilai €750,000 (RM3.77 juta) yang hilang di sebuah hotel di Paris akhirnya ditemui, rupanya di dalam pembersih vakum. Pemiliknya, seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang merupakan tetamu di hotel itu, membuat laporan polis pada Jumaat selepas mengesyaki seorang pekerja mencuri cincin berkenaan. Memetik laporan Le Parisien, pengawal keselamatan hotel menemui cincin itu bersama habuk di dalam beg pembersih hampagas pada Ahad. Tambah akhbar itu, tetamu tersebut pergi ke London pada Jumaat, tetapi kini akan kembali ke Paris untuk mendapatkan cincinnya. The Ritz berkata ia telah menawarkan tiga malam penginapan tambahan kepada tetamu itu atas kesulitan itu, walaupun difahamkan dia tidak berhasrat untuk menerima tawaran berkenaan. Dalam satu kenyataan kepada Le Parisien, hotel itu berkata: “Terima kasih kepada tugas pengawal keselamatan yang begitu teliti, cincin itu ditemui pagi ini. "Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Ritz Paris yang menggerakkan pencarian ini dan yang bekerja setiap hari dengan integriti dan profesionalisme." Ahli perniagaan itu memberitahu polis bahawa dia meninggalkan cincin itu di atas meja di bilik hotelnya pada hari kejadian ketika dia pergi membeli-belah di bandar selama beberapa jam, dan apabila dia kembali, cincin itu didapati hilang. Polis kemudian menjaga cincin itu sehingga wanita itu dapat mengambilnya semula. -BBC Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube