SEORANG wanita berdepan hukuman penjara 15 tahun selepas didakwa melakukan penipuan terhadap kekasihnya sebanyak AS$90,800 (RM423,580). Memetik laporan VNExpress, Nguyen Thi Loan, 30, melakukan penipuan itu dengan mendakwa kekasihnya, Thanh merupakan bapa kepada anaknya. Terpedaya dengan tipu helah wanita berusia 30 tahun itu, kekasihnya memindahkan wang ke akaun tertuduh sebanyak 19 kali. Difahamkan, tertuduh mula menjalinkan hubungan dengan Thanh yang tinggal di Hanoi, pada awal 2017. Namun, wanita berkenaan berkahwin dengan lelaki lain dikenali sebagai Tien di wilayah Hung Yen, pada Mei 2020. Pasangan suami isteri itu kemudian dikurniakan seorang anak pada 2021, hasil persenyawaan in-vitro (IVF). Wanita itu bagaimanapun merahsiakan statusnya yang sudah mempunyai suami. Tertuduh dikatakan menipu Thanh dengan memberitahu bahawa keluarganya tidak membenarkan mereka berkahwin. Pada masa sama, dia juga meminta lelaki berkenaan bertanggungjawab untuk menyara anaknya. Selepas menerima wang tersebut, wanita itu memutuskan hubungan mereka sehingga timbul rasa curiga. Susulan itu, Thanh kemudian membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube