suria

Awan pelik mirip UFO terbentuk di langit! Penduduk terbayang filem makhluk asing

Awan mirip UFO yang terbentuk di atas bandar Bursa, Turki. Kredit Foto: AGENSI

PENDUDUK di Bursa, Turkiye kecut perut apabila dikejutkan dengan pemandangan luar biasa di langit ketika bangun pagi.

Pembentukan awan pelik yang kelihatan seperti objek terbang tidak dikenali (UFO) pada Khamis lalu membuatkan penduduk bandar tersebut tidak senang duduk.

Awan berbentuk bulat itu muncul ketika matahari terbit yang turut memperlihatkan lubang besar di tengahnya.

Warga maya di media sosial juga ada yang mengatakan pemandangan awan di Bursa itu memberikan gambaran suasana seperti babak serangan makhluk asing dalam filem.

"Sangat mengerikan, naik bulu roma ni, kalau tambah bunyi siren kecemasan di belakang, dah sama macam filem Alien," kata netizen itu.

Direktorat Meteorologi memberitahu media tempatan bahawa pembentukan awan aneh itu adalah contoh awan kanta (lenticular cloud) yang umumnya terbentuk akibat angin kencang yang turun naik di atas bukit serta gunung.

Penjelasan oleh jabatan meteorologi itu dilihat munasabah memandangkan bandar Bursa sememangnya terletak di antara lerengan kawasan pergunungan.

Awan berupa UFO di atas bandar Bursa, Turki.

Awan itu dirakamkan terbentuk di atas Pusat Latihan Aeroangkasa Gokmen (GUHEM) di Bursa.

Awan kanta atau awan lentikular mendapat namanya daripada bahasa Latin 'Altocumulus lenticularis' yang diterjemahkan kepada 'seperti kanta' (like a lens) dalam Bahasa Inggeris.

Mereka terkenal dengan rupa melengkung seperti piring terbang dan biasanya ditemui pada ketinggian sekitar 6,400 - 16,500 kaki.

"Awan yang kelihatan aneh dan luar biasa ini kadang-kadang terbentuk akibat angin bukit atau gunung.

"Ia kelihatan mirip seperti piring terbang dalam filem fiksyen sains dan awan lentikular adalah satu jawapan yang paling biasa digunakan untuk menjelaskan penampakan UFO di seluruh dunia," ujar Direktorat Meterologi.

Menurut Direktorat Meteorologi, awan lentikular adalah pergerakan udara di puncak gunung yang dapat dilihat dengan mata kasar.

"Apabila pegerakan udara di troposfera merentasi kawasan pergunungan, dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan terbentuknya gelombang udara apabila bertembung dengan gunung itu.

"Boleh diibaratkan seperti aliran air yang menghasilkan gelombang apabila bertemu dengan halangan dalam laluannya," jelas Direktorat Meteorologi. - Daily Mail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain