suria

Angkara tidak berhijab, wanita Iran ditahan polis... Maut ketika rawatan di hospital

Amini dilaporkan meninggal dunia semasa dalam tahanan polis.

AKIBAT tidak memakai tudung, seorang wanita Iran dilaporkan meninggal dunia selepas dia ditangkap dan dipukul polis.

Mahsa Amini, 22, koma selepas ditahan di Tehran dan meninggal dunia ketika dia dalam tahanan polis di hospital.

Pegawai Republik Islam memberitahu media tempatan bahawa Amini mengalami serangan jantung semasa ditahan sekali gus menafikan laporan bahawa dia telah dipukul.

Bagaimanapun, ibu mangsa tegas menyatakan bahawa anak perempuannya dibunuh berikutan tidak pernah menghidap sebarang penyakit.

Difahamkan, Amini sedang dalam lawatan ke ibu negara Iran bersama keluarganya apabila dia ditahan oleh unit polis khas yang menguatkuasakan peraturan berpakaian untuk wanita, termasuk mewajibkan pemakaian tudung.

Ekoran daripada insiden tersebut, Kementerian Dalam Negeri dan pendakwaraya Tehran melancarkan siasatan terhadap kes Mahsa Amini.

Menterinya, Ahmad Vahidi berkata, beliau telah meminta timbalannya untuk mengikuti kes itu dan mengetahui apa yang telah berlaku.

"Saya meminta orang ramai yang bercakap tentang kejadian itu untuk menunggu sehingga semuanya menjadi jelas," katanya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Amini duduk bersama gadis lain yang ditahan.

Dia bagaimanapun pengsan selepas pegawai polis menunjukkan tudungnya.

Menerusi klip video itu juga, kelihatan pasukan perubatan membawanya ke hospital berdekatan. - Daily Mail

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

tidak bertudung, tahanan maut, Iran,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain