suria

Tragis! Guru yoga terkenal ditemui mati dengan 30 kesan tikaman dan luka dalam tab mandi di hotel lima bintang

Kelibat Chow dikesan dalam rakaman kamera keselamatan di kediamannya.

POLIS Hong Kong menahan seorang penganggur kerana disyaki membunuh bekas teman wanitanya selepas mangsa ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman dan luka, di sebuah hotel lima bintang, pada Khamis.

Mayat Chow Wai-yin, seorang guru yoga berusia 23 tahun yang lebih dikenali sebagai Aqua Chow, ditemui di dalam tab mandi di salah sebuah bilik hotel The Ritz Carlton di Kowloon West, pukul 10 malam Khamis.

Mayat wanita muda itu ditemui beberapa jam selepas ibunya melaporkan kehilangannya.

Polis daerah Yau Tsim, Superintendan Gar Kam-lam pada Jumaat berkata, pegawai penyiasat mengesan tanda-tanda pergelutan dan darah di dalam bilik hotel.

"Mayat mangsa ditemui terendam di dalam tab mandi yang dipenuhi air bercampur darah dan kepalanya turut ditenggelami air," katanya.

Sebilah pisau dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa turut ditemui di dalam tab mandi, katanya.

"Pemeriksaan awal oleh pakar patologi forensik menunjukkan mangsa mengalami lebih 30 luka tikaman pisau pada anggota badan di bahagian depan dan belakang," katanya.

Pemeriksaan juga menunjukkan mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Chow, yang tinggal bersendirian di Sham Shui Po, dijadualkan menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat pada awal pagi Khamis bagi mengikuti kursus yoga di negara tersebut.

Dia dilaporkan hilang kira-kira pukul 1 tengah hari Khamis, selepas ibunya tidak dapat menghubunginya dan mendapati dia tidak menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat.

Kira-kira dua jam kemudian, pegawai polis berjaya mengesan bekas teman lelaki Chow yang berpura-pura tidak mengetahui keberadaan mangsa.

Bagaimanapun, pemeriksaan rakaman kamera keselamatan oleh polis menunjukkan Chow meninggalkan kediamannya bersama lelaki tersebut pada kira-kira pukul 4 petang Rabu.

Kira-kira pukul 8 malam Khamis, lelaki itu pergi ke balai polis Wong Tai Sin bersama peguamnya dan menyerahkan kunci bilik hotel kepada pegawai polis.

Lelaki tersebut kemudian ditahan kerana disyaki membunuh bekas teman wanitanya itu.

Sumber polis berkata, pembunuhan itu mungkin dirancang kerana siasatan menunjukkan pisau yang digunakan sebagai senjata, dibeli sebelum suspek mendaftar masuk ke hotel pada Rabu. - The Star/ South China Morning Post

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain