suria

Kematian tragis 2 beranak, bapa tembak diri sendiri selepas bayi 18 bulan maut tertinggal dalam kereta

Polis menemui mayat seorang bapa di hutan di belakang rumah. foto WTMZ

SEORANG bapa bertindak membunuh diri selepas menyedari bayi lelakinya berusia 18 bulan meninggal dunia akibat ditinggalkan dalam kereta selama beberapa jam.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu meninggalkan anaknya di dalam kereta selama sekurang-kurangnya tiga jam, dalam kejadian di Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Polis Chesterfield Leftenan Kolonel Christopher Hensley.

Polis mengesyaki bapa mangsa pergi bekerja pada waktu pagi dan terlupa menghantar anaknya ke pusat jagaan.

Menurut saluran cuaca, The Weather Channel, suhu di Chesterfield, Virginia, mencapai paras tertinggi 27 darjah celsius pada hari tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak Maut Jatuh Bangunan Gara-Gara Kunci Rumah Tertinggal

Hensley berkata, si bapa menyedari anak kecilnya masih berada di dalam kereta selepas mendapati anaknya tidak berada di taska.

Pada tengah hari, ahli keluarga mangsa menghubungi polis bagi melaporkan lelaki berkenaan mahu membunuh diri di hutan di belakang rumah.

Anggota polis kemudian menjumpai mayat lelaki tersebut, yang mengalami kecederaan parah akibat menembak diri sendiri.

Menurut No Heat Stroke, bayi berusia 18 bulan itu merupakan kanak-kanak ketujuh maut di AS akibat ditinggalkan di dalam kereta, setakat tahun ini. - Metro

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain