suria

Alami halusinasi, agresif cederakan diri sendiri... 6 budak bawah umur berubah selepas ambil ganja

Keenam-enam kes itu dilaporkan oleh Kolej Diraja Pediatrik dan Persatuan Pediatrik Thailand. Foto: AFP.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun adalah antara enam kanak-kanak bawah umur yang mengalami kesan tidak diingini antara 21 dan 26 Jun lalu selepas secara sedar atau tidak mengambil ganja atau makanan yang mengandungi kanabis.

Keenam-enam kes itu dilaporkan oleh Kolej Pediatrik Diraja dan Persatuan Pediatrik Thailand.

Memetik laporan itu, Profesor Dr Opass Putcharoen, ketua Pusat Klinikal Penyakit Berjangkit di Hospital Chulalongkorn, berkata dalam catatan Facebooknya pada Selasa bahawa si kecil itu makan sebahagian daripada biskut, dipercayai mengandungi ganja, yang dibeli dan disimpan oleh saudara maranya di dalam rumah.

Akibatnya, dia menjadi mengantuk dan lemah sehingga terpaksa dihantar untuk rawatan.

Kes kedua melibatkan pesakit psikiatri berusia 14 tahun, yang tidak diberi ubat selama dua minggu.

Dia dilaporkan menghisap sebatang rokok yang disediakan oleh rakannya untuk mengurangkan tekanan, tanpa mengetahui ia mengandungi ganja.

Dia menjadi keliru dan sikapnya berubah sehingga turut diberi rawatan perubatan.

Seorang remaja berusia 17 tahun di wilayah Phichit memakan bunga ganja untuk berseronok.

Dia mengalami halusinasi, menjadi agresif dan cuba mencederakan dirinya sendiri.

Satu lagi kes melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun, yang menghisap ganja yang diberikan oleh rakannya, dan kemudian mengalami kebimbangan yang melampau dan cuba mencederakan dirinya sendiri dan dihalang oleh ibunya.

Dia kemudian dinasihatkan untuk tidak menghadiri kelas dan dirawat dengan ubat psikiatri.

Seorang remaja berusia 17 tahun di Nakhon Si Thammarat mengakui kepada gurunya bahawa dia telah menggunakan ganja selama kira-kira setahun, selepas guru itu menyedari berat badannya semakin berkurangan dan kelihatan lemah.

Dia dihantar berjumpa doktor dan kemudian dirawat di rumah.

Seorang remaja berusia 16 tahun di Bangkok, yang mempunyai sejarah masalah psikiatri, mencuba coklat yang mengandungi ganja dan muntah, menjadi cemas dan mula berhalusinasi.

Dr. Opass berkata bahawa doktor yang merawat kanak-kanak bawah umur untuk gejala pengambilan bahan tersebut, mereka digesa melaporkannya kepada Kolej Pediatrik Diraja dan Persatuan Pediatrik Thailand, supaya mereka boleh menyimpan rekod semua kes dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi anak muda daripada kesan berbahaya tumbuhan tersebut. - Thai Pbs World.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain