suria

Banyak persoalan belum dijawab... Meghan bongkar hasrat bunuh diri, dakwa keluarga diraja rasis, ada pihak buat dirinya menangis

Wawancara Putera Harry (kiri) dan Meghan (tengah) bersama Oprah Winfrey. foto PA

WAWANCARA Putera Harry dan Meghan Markle bersama Oprah Winfrey ternyata menggemparkan, sehingga mencetuskan banyak persoalan yang belum dijawab.

Antara pendedahan yang dibuat oleh pasangan itu, termasuk kenyataan rasis mengenai warna kulit anak mereka, Archie dan dakwaan membabitkan Duchess of Cambridge, Kate Middleton membuatkan Meghan menangis.

Wawancara itu memaparkan sejumlah dakwaan yang luar biasa dan pengakuan menyayat hati sehingga meninggalkan beberapa soalan yang belum dijawab.

Dalam wawancara itu, Meghan sebak membuat pengakuan mempunyai pemikiran untuk membunuh diri ketika mengandungkan Archie dan mendakwa kebimbangan keluarga diraja Britain mengenai betapa gelapnya kulit Archie.

Putera Harry berkata, beliau tidak akan mendedahkan mengenai individu yang membuat kenyataan yang luar biasa itu.

Editor Diraja, Good Morning Britain iaitu Chris Ship berkata, beliau secara katageorinya mengatakan bahawa ia bukan Ratu Elizabeth atau Putera Philip.

Dalam pada itu, Megan juga menafikan dakwaan beliau membuatkan isteri Putera William, Kate Middleton menangis.

Sebaliknya, Kate yang membuatkannya menangis mengenai hal membabitkan gaun gadis bunga.

Meghan turut mengkritik kurangnya sokongan yang diterima beliau setelah menyertai keluarga diraja Britain.

"Tak ada bimbingan. Tak ada kelas tentang cara bercakap, cara menyilangkan kaki, cara menjadi keluarga diraja, tiada satu pun latihan.

"Ia mungkin berlaku untuk ahli keluarga yang lain," kata Meghan sambil menambah bahawa beliau tidak ditawarkan dengan perkara tersebut.

Wawancara selama dua jam itu dirakamkan sebelum Times mendedahkan dakwaan terhadap Meghan, mengenai kes buli pembantu istana.

Dakwaan itu mengatakan beliau mengusir dua pembantu peribadi dan mempermalukan yang lain.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Istana Buckingham melancarkan siasatan tetapi masih terdapat banyak persoalan mengenai kejadian yang berlaku. - Daily Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain