suria

Mangsa nahas motosikal ‘mati’ hidup semula sejurus sebelum bedah siasat

Shankar mengalami kecederaans serius di kepala akibat kemalangan motosikal. foto Facebook/ Dailystar

SEORANG mangsa kemalangan jalan raya yang disahkan meninggal, didapati sedarkan diri sejurus sebelum bedah siasat dijalankan.

Shankar Shanmukh Gombi, 27, mengalami kecederaan serius di kepala akibat kemalangan motosikal di Mahalingapur, India, pada 27 Februari lalu.

Lelaki itu dimasukkan ke hospital swasta di Belgavi, di mana doktor memberitahu bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, dan terpaksa mematikan sistem sokongan hayat.

Bercakap kepada Times of India, ahli keluarga itu berkata, pihak hospital memaklumkan mereka bahawa Shankar telah meninggal dunia.

"Kami membawanya dengan ambulans ke hospital kerajaan di Mahalingapur pada Ahad malam," kata seorang ahli keluarga mangsa.

"Kakitangan di hospital memaklumkan dia meninggal dunia dan mayatnya dihantar untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun, seorang pegawai kanan di bilik bedah siasat yang sedang bersiap sedia untuk menjalankan prosedur berkata, dia dapat melihat pergerakan. Setelah diperiksa lebih teliti, dia mendapati Shankar masih hidup," tambahnya.

Kejadian berlaku sehari selepas jasad Shankar dipindahkan ke sebuah hospital kerajaan di Mahalingapur untuk bedah siasat.

Seorang doktor, Dr SS Galgali memberitahu media bahawa doktor di hospital swasta melakukan 'keputusan' yang tidak tepat apabila mematikan ventilator dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Keluarga itu belum membuat aduan rasmi terhadap hospital swasta tersebut.

Shankar kini menerima rawatan di hospital lain dan keadaannya bertambah baik. - Daily Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain