Kecoh! Guna ambulans bawa hantaran kahwin, alasannya pengantin mahu abadikan pernikahan saat pandemik Covid-19

Ambulans dikatakan digunakan untuk membawa hantaran kahwin. -gambar hiasan/foto Shutterstock/ kompas.com

TULAR di media sosial apabila dua individu lengkap berbaju perlindungan hazmat seperti PPE membuat serahan barang hantaran kahwin.

Menggunakan ambulans untuk membawa item hantaran pernikahan itu, malahan sepanjang perjalanan kenderaan itu dirakam membunyikan siren.

Video itu dirakam di Kota Palembang, manakala ambulans itu adalah milik salah sebuah klinik swasta di situ.

Dipetik dari Tribun.Sumsel.com, jurucakap Jabatan Kesihatan Kota Palembang, Yudhi Setiawan berkata, pihaknya telah mendapat pengesahan pemilik ambulans berkenaan.

Menurutnya, tujuan ambulans itu digunakan termasuk pemakaian baju hazmat semata-mata sebagai kenang-kenangan pernikahan saat penularan pandemik Covid-19.

"Adalah salah untuk menggunakan ambulans dan baju hazmat lengkap," demikian ujar Yudhi.

Malahan, katanya, pihaknya telah menegur secara lisan tindakan pihak klinik yang membenarkan pengggunakan ambulans dan baju hazmat itu.

Bagaimanapun, nama dan lokasi klinik berkenaan tidak didedahkan kecuali mengakui tindakan pihak klinik dan keluarga pengantin adalah menyalahi prosedur penggunaan ambulans.

"Sebenarnya ambulans untuk membawa orang sakit dan jenazah, bermakna kegunaannya tidak sesuai," katanya.

Mengenai baju hazmat pula, beliau berkata tindakan itu dikhuatiri menyebabkan hilangnya kepercayaan masyarakat kepada petugas kesihatan.

Bagi mengelak kejadian sama berulang, pihaknya akan mengeluarkan surat mengenai tata cara penggunaan ambulans.

Susulan tular video penggunakan ambulans untuk serahan barang hantaran kahwin, pihak Polis Palembang telah bertindak merampas kenderaan itu.

Jabatan Trafik Polis Palembang berkata, pihak yang mengendalikan ambulans itu boleh dikenakan tindakan mengikut Fasal 307 Undang-Undang Lalu Lintas.

Mengikut peruntukan itu juga, pihak yang mengankut barangan yang tidak mengikut ketetapan penggunaan ambulans boleh dikenakan denda Rp500,000.

Hasil siasatan mendapati ada hubungan kekeluargaan antara pemilik klinik berkenaan dan keluarga pengantin hingga penggunaan kenderaan itu tidak dikenakan sebarang bayaran.- regional.kompas.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain