suria

Ramai hilang kerja, tapi laporan menunjukkan jutawan semakin ramai... kekayaan bilionare meningkat kepada RM41.8 trilion ketika pandemik

CEO Amazon Jeff Bezos (kiri) dan Pengasas Tesla Elon Musk meningkatkan kekayaan mereka ketika pandemik. -foto Rex/AP

NAMPAKNYA orang kaya semakin kaya apabila kekayaan mereka melonjak ke paras tertinggi sebanyak £7.8 trilion (RM41.8 trilion) ketika dunia dilanda wabak koronavirus.

Ketika berjuta-juta orang di seluruh dunia kehilangan pekerjaan pada puncak krisis, kekayaan golongan jutawan meningkat lebih dari seperempat (27.5 peratus), menurut laporan oleh bank Swiss, UBS.

Jumlah jutawan juga mencapai satu tahap tertinggi yang baharu, meningkat dari 2,158 kepada 2,189 orang, dengan kebanyakannya mendapat keuntungan daripada pertaruhan pemulihan pasaran saham global setelah mereka mencapai paras terendah semasa 'lockdown'.

Orang terkaya di dunia, Pengasas Amazon, Jeff Bezos, menambah kekayaannya sebanyak AS$74 bilion (RM307.3 bilion) tahun ini dan kini bernilai AS$189 bilion (RM784.9 bilion).

Tetapi Pengasas Tesla, Elon Musk adalah individu yang paling banyak menjana pendapatan tahun ini, menambah kekayaannya antara AS$76 bilion (RM315.6 bilion) hingga AS$103 bilion (RM427.7 bilion).

Josef Stadler, yang berurusan secara langsung dengan orang-orang kaya ini di UBS berkata mereka menunjukkan 'kejayaan sangat cemerlang' ketika pandemik.

Dia berkata mereka masih mampu membeli lebih banyak saham syarikat ketika pasaran di seluruh dunia merosot. Ketika pasaran ini pulih, mereka memperoleh lebih keuntungan berbanding kerugian yang telah ditanggung.

Walaupun ini merupakan berita hebat bagi golongan jutawan, Stadler memberi amaran bahawa kekayaan besar-besaran ketika bencana kewangan global boleh menimbulkan reaksi masyarakat.

"Apakah ada risiko mereka akan diperhatikan masyarakat? Ya. Adakah mereka menyedarinya? Ya," katanya.

Pengarah eksekutif High Pay Centre, Luke Hilyard berkata laporan UBS adalah satu petanda bahawa kapitalisme tidak berfungsi sepertimana sepatutnya, memberi amaran bahawa jutawan yang menghasilkan lebih banyak wang akan 'merosakkan ekonomi dan sosial’. -MetroUK

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kaya, Amazon, Covid-19, Jeff Bezos

Artikel Lain