suria

Selamba naik pesawat walaupun positif Covid-19, penumpang diharamkan oleh syarikat penerbangan seumur hidup

Penumpang itu didiagnosis positif Covid-19 sebelum menaiki pesawat, namun memberitahu mengenainya kepada kru penerbangan hanya selepas pesawat mendarat. Foto: Getty/Twitter

SEORANG penumpang diharamkan menaiki penerbangan syarikat JetBlue seumur hidup, gara-gara tindakannya yang selamba menaiki pesawat walaupun mengetahui dirinya dijangkiti wabak Covid-19.

Penumpang itu menaiki pesawat JetBlue 253 dari New York ke Florida pada malam Rabu.

Dia dilihat memakai sarung tangan dan topeng muka memasuki pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach.

Sebelum pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York City, penumpang itu mendapat mesej yang mengesahkan dia positif Covid-19.

Selepas pesawat mendarat, penumpang itu memberitahu kru penerbangan tentang keputusan diagnosisnya.

Sejurus selepas itu, pekerja mula membersihkan kawasan yang dilalui penumpang tersebut yang diteliti menerusi rakaman kamera keselamatan, termasuklah tandas, kios dan lif.

Syarikat penerbangan itu berkata ia telah melarang penumpang itu menaiki penerbangan mereka pada masa depan. - Metro.co.uk

pesawat, penerbangan, Covid-19

Artikel Lain