suria

Menteri Dalam Negeri Australia pula positif Covid-19

Dutton mengesahkan dia dijangkiti wabak koronavirus atau Covid-19. Foto: ABC News

MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Peter Dutton mengesahkan dia dijangkiti wabak koronavirus atau Covid-19.

Menteri kanan kerajaan negara itu berkata, dia mendapat tahu mengenainya selepas mendapati mempunyai simptom sakit tekak dan suhu badan yang tinggi.

"Saya segera menghubungi Jabatan Kesihatan Queensland dan kemudiannya diuji Covid-19. 

"Saya kemudian dimaklumkan bahawa ujian itu positif," kata Dutton dalam satu kenyataan.

"Adalah menjadi dasar Jabatan Kesihatan Queensland bahawa sesiapa yang diuji positif akan dimasukkan ke hospital dan saya telah mematuhi nasihat mereka.

"Saya baik-baik sahaja dan akan memberikan kemas kini dalam masa terdekat," katanya lagi.

Dutton berada di Sydney untuk menghadiri mesyuarat Kabinet pada Selasa dan kembali ke Brisbane pada hari yang sama.

Dutton juga telah berkunjung ke Amerika Syarikat baru-baru ini, dan bertemu dengan anak kepada Presiden Donald Trump iaitu Ivanka Trump dan Peguam Negara AS pada 6 Mac, di mana dia tidak mengetahui keadaan kesihatannya ketika itu.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri New Zealand, Tracey Martin memutuskan untuk mengasingkan diri dan akan menjalani ujian bagi Covid-19 pada Sabtu, selepas dia juga bertemu Dutton di Amerika Syarikat. - ABC News

Menteri, Australia, Covid-19, sakit tekak

Artikel Lain