suria

Bimbang serangan Covid-19, warga Australia buat ‘pembelian panik’

Ubat-ubatan dilaporkan habis dibeli oleh orang awam. Foto: ABC News

SEHINGGA kini, kira-kira 60 buah negara dikenal pasti mempunyai kes koronavirus atau Covid-19.

Begitu juga Australia yang mengesahkan tiga lagi kes baru pada Ahad lalu.

Menurut seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Milly, dia telah berbelanja dengan banyak pada minggu lalu dan menganggap ia sebagai 'persediaan hari kiamat'.

"Saya telah membeli barang-barang persediaan seperti makanan di dalam tin, sayur, kacang, buah-buahan, tisu tandas serta makanan anjing dan kucing," katanya.

Rata-rata rak di dalam pasar raya Australia kehabisan stok akibat daripada Covid-19. Foto: ABC News

Dia juga berasa cemas kerana anak lelakinya yang berusia lima tahun mempunyai penyakit paru-paru dan dia juga pernah mengalami penyakit influenza.

"Jadi saya perlu bersiap sedia bagi mengalami keadaan cemas seperti ini dengan menyediakan ubat-ubatan yang secukupnya," ujarnya.

Sementara itu, Professor Ian Mackay, pakar penyakit merebak dari University of Queensland memberitahu wabak Covid-19 ini akan berlaku selama beberapa minggu atau berbulan-bulan.

Namun, Mackay berpendapat orang awam tak perlu untuk melakukan pembelian panik bagi menghadapi situasi seperti ini.

"Tidak salah untuk melakukan persediaan dengan membeli ubat dan makanan dengan banyak tetapi perlu sampai menjadi terlalu risau kerana wabak tersebut masih belum tersebar luas di sini," ujarnya kepada ABC Radio Brisbane.

Orang awam mula mengumpul barangan harian sebagai persediaan menghadapi wabak berjangkit tersebut. Foto: ABC News

Sebuah pasar raya terkemuka di Australia, Woolworths membuat satu kenyataan berkenaan peningkatan pembelian barangan keperluan harian.

"Kami mempunyai stok yang banyak dan kami akan pastikan syarikat pengeluar akan terus membekalkan produk kepada kami," menerusi kenyataan tersebut.

Sebuah lagi pasar raya, Coles, memberitahu pasar raya mereka kehabisan stok bagi produk hand sanitiser (pembersih tangan) dan produk penjagaan diri yang lain. - ABC News

Artikel Lain