suria

Video dakwa pesawat Ukraine terhempas selepas dibedil peluru berpandu Iran tular di internet

Video yang dipercayai menunjukkan saat peluru berpandu Iran membedil pesawat Ukraine International Airlines. Foto: Metro/AFP

BRITAIN sependapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang mengatakan terdapat 'kemungkinan besar' bahawa Iran menjadi dalang yang menembak jatuh pesawat berhampiran Tehran yang mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal pada Rabu.

Video mengenai insiden itu muncul sehari selepas kejadian, dipercayai menunjukkan saat peluru berpandu Iran membedil pesawat Ukraine International Airlines itu.

Video itu yang dihantar dan disahkan oleh New York Times, memperlihatkan saat peluru berpandu dilancarkan ke arah sebuah objek di udara.

Ia menunjukkan sebuah objek pantas sedang bergerak sebelum letupan kelihatan.

Objek tersebut kemudian terbakar dan bergerak ke arah yang berbeza.

Kemalangan tragis pada pagi Rabu itu berlaku hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap markas udara menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Iraq bagi membalas dendam atas kematian komander tertinggi pasukan itu, Qasem Soleimani, dalam serangan dron AS di Iraq Jumaat lalu. - Metro.co.uk

Artikel Lain