suria

Pelajar perubatan tayang kemewahan di Instagram, dakwa raih lebih setengah juta ringgit sebulan disiasat

Gurvin Singh mendakwa mempunya tujuh kereta mewah. -foto SWNS

SEORANG pelajar yang mendakwa meraih £110,000 (RM592,378) sebulan hasil dagangan Forex sedang disiasat kerana mungkin terlibat dalam penipuan.

Gurvin Singh, 20, menjadi tajuk berita apabila mendakwa berjaya menggandakan wang £200 (RM1,077) kepada £100,000 (RM538,525) di pasaran pertukaran asing ketika belajar di bidang perubatan.

Gaya hidupnya yang mewah di Instagram menyebabkan pengikutnya naik mendadak, dengan jumlah lebih 170,000 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar naik jet peribadi, berlagak kaya di Instagram... hakikatnya semua gambar 'edit'!

Dia juga menjadi tajuk berita apabila menyerahkan wang kertas £10 (RM54) berjumlah £2,000 (RM10,770) kepada para pembeli di Plymouth dan mendakwa akan bergelar jutawan menjelang Januari.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Kewangan (FCA) mendedahkan bahawa mereka percaya Singh dan dua perniagaan lain, GS3 Trades Ltd dan GS3 Marketing Limited telah menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan.

Mereka mengaitkan aktiviti-aktiviti tersebut dengan laman web, gurvinsingh.com, akaun Instagram milik Singh @gs_3 dan satu lagi akaun, @gs3trades.

Gurvin mendakwa meraih pendapatan lumayan ketika sedang belajar perubatan. -foto SWNS

Laman web ini menyimpan banyak maklumat penting dan posting di kedua-dua akaun Instagram itu telah dipadam.

"Hampir semua firma dan individu yang menawarkan, mempromosikan atau menjual perkhidmatan atau produk kewangan di UK perlu mendapat kebenaran daripada kami.

"Bagaimanapun, beberapa firma bertindak tanpa izin kami dan ada beberapa yang diketahui sengaja menjalankan penipuan pelaburan.

"Firma ini tidak mendapat pelepasan oleh kami dan mensasarkan orang ramai di UK.

"Berdasarkan maklumat yang kami ada, kami percaya ia menjalankan aktiviti kawal selia yang memerlukan keizinan," menurut FCA.

Selepas melihat kejayaannya, beratus-ratus orang yang sedang mencari tip pelaburan telah mendekati Singh.

Lelaki ini juga mendakwa berbelanja £70,000 untuk pakaian jenama mewah. -foto SWNS

Metro.co.uk difahamkan, sehingga 400 orang telah dirujuk kepada broker oleh Singh yang dikenali sebagai Infinox.

Infinox menyediakan platform untuk perdagangan kewangan dan mempunyai entiti yang didaftarkan di UK dan Bahamas. Yang pertama dikawal selia FCA, tetapi yang kedua tidak.

Metro.co.uk bercakap dengan beberapa orang yang dirujuk kepada Infinox yang mendakwa mereka percaya telah melabur dalam perniagaan di bawah kawalan FCA tetapi dana itu berakhir dengan Infinox Bahamas.

Singh menolak sepenuhnya tuduhan FCA serta apa-apa tuduhan melakukan salah laku.

Katanya, dia adalah pengarah dan pekerja tunggal GS3 Marketing tetapi menafikan kewujudan sebuah syarikat lain, GS3 Trades Ltd dan mendakwa orang lain mungkin menggunakan nama hampir sama tanpa izinnya.

Tidak ada syarikat bernama GS3 Trades Ltd yang disenaraikan dalam direktori kerajaan.

Singh mendakwa alasannya memadam semua posting Instagramnya di @gs_3 disebabkan 'perkara berkaitan polis'.

Dia memberitahu Metro.co.uk: "FCA belum sahkan apa yang mereka katakan. Mereka kata mereka 'percaya' dan belum mengesahkannya. Saya percaya ia adalah kesilapan mereka atau mereka telah tersalah maklumat." -Metro UK

mewah, scammer, Gurvin Singh

Artikel Lain