suria

Kecoh babak Donald Trump dalam filem Home Alone 2 dipotong di Kanada

Kemunculan Donald Trump sebagai kameo dalam filem Krismas, Home Alone 2. Foto 20th Century Fox/Kobal

KECOH apabila hubungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Kanada, Justin Trudeau dikatakan kembali tegang apabila penyiar di Kanada memotong babak Trump yang muncul sebagai kameo dalam filem pecah panggung, Home Alone 2.

Canadian Broadcasting Corporation (CBC) baru-baru ini menyiarkan filem Krismas terbitan 1992 tetapi penonton menyaksikan babak Trump telah dipotong. 

CBC bagaimanapun berkata, keputusan itu dibuat sebelum Trump mengambil alih pucuk pemerintahan untuk menjimatkan sejumlah lapan minit daripada filem berdurasi 120 minit itu bagi memenuhi slot iklan.

Presiden AS secara berseloroh mengulas mengenai isu suntingan itu: "Filem itu tak akan sama! (hanya bergurau)."

Bagaimanapun, beliau membuat sindiran mengenai Presiden Kanada dan berkongsi atikel mengenai langkah tersebut disebabkan 'penapisan'.

Anaknya, Donald Trump Jr juga menyifatkan kejadian suntingan itu sebagai 'menyedihkan'.

Trump mengaitkan Trudeau berhubung keputusan menyunting babak membabitkan dirinya dalam filem Home Alone 2. Foto Reuters/sumber X00157

Presiden AS sentiasa memberitahu beliau berasa satu penghormatan menjadi sebahagian daripada filem tersebut yang dilakonkan oleh Macaulay Culkin, yang memegang watak utama sebagai Kevin.

Menerusi versi asal, Trump dan Kevin bertemu dalam satu babak di Hotel Plaza di New York yang mana Kevin bertanya tentang lokasi lobi.

Mogul hartanah itu membeli Plaza Hotel di New York pada awal 1990-an.

CBC mempertahankan keputusannya untuk menyunting adegan tersebut, dengan jurucakap Chuck Thompson berkata: "Adegan membabitkan Donald Trump merupakan salah satu daripada beberapa babak yang dipotong daripada filem itu kerana tidak ada satu pun darinya berkaitan dengan plot.

"Suntingan ini dilakukan pada 2014, ketika kami pertama kali memperoleh filem itu dan sebelum Trump dipilih sebagai presiden."

Bagaimanapun, media sosial mendakwa CBC membuat keputusan itu kerana unsur politik.

Hubungan antara AS dan Kanada semakin tegang apabila Trump berbalah dengan rakan sejawatnya berhubung komitmen dan perdagangan kewangan antarabangsa. - Metro

Artikel Lain