Dua guru tadika ditahan pukul, hempas murid di lantai... alasannya 'tak tahu' - Dunia | mStar

Dua guru tadika ditahan pukul, hempas murid di lantai... alasannya 'tak tahu'

DUA guru di sebuah tadika Cina di Itali ditahan kerana disyaki melakukan salah laku fizikal terhadap 10 murid berusia antara tiga dan enam tahun, lapor laman web video Pear Video pada Rabu.

Rakaman kamera pengawasan menunjukkan dua wanita Cina yang dikenali sebagai Zheng Moli, 38, dan Hong Pingping, 26, menendang dan menghempas kanak-kanak tadika ke lantai selain menggunakan objek seperti rotan untuk memukul mereka.

Sebuah video menunjukkan seseorang menolak kanak-kanak ke lantai sebelum memukul mereka dengan rotan.

Murid-murid di sekolah itu semuanya dari etnik Cina tetapi tidak diketahui sama ada suspek adalah warganegara China atau Itali.

Insiden itu dirakam melalui kamera di sebuah tadika di bandar Prato di Tuscany, utara Itali.

Prasekolah itu terletak di kawasan Chinatown, Prato, lapor akhbar La Repubblica pada 31 Januari ketika dua wanita itu ditangkap.

Seorang lagi kakitangan sedang disiasat oleh polis, menurut La Repubblica.

Insiden tersebut dilaporkan kepada polis oleh ibu bapa, yang diberitahu oleh pekerja tadika tentang tingkah laku rakan-rakan mereka.

Siasatan polis bermula pada Disember, apabila tiga kamera CCTV dipasang di bilik darjah untuk memantau kakitangan.

Sebelum itu, tiada sebarang aduan diterima daripada ibu bapa tentang kebajikan anak-anak mereka.

"Tingkah laku ini sangat biasa di China," kata Moli dalam laporan Pear Video.

Katanya dia berdepan layanan kasar di sekolah.

"Tidak ada seorang pun beritahu saya tentang larangan rotan di Itali untuk beri pengajaran kepada kanak-kanak.

"Di China, rotan untuk mengajar digunakan untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak," katanya.

Kawalan telah dilaksanakan di sekolah itu untuk memastikan kakitangan mematuhi peraturan, kata La Repubblica.

Laporan Pear Video mendapat perhatian ramai di Weibo, yang mana ramai pengguna tidak bersetuju dengan cadangan Moli bahawa penyalahgunaan fizikal di sekolah di China adalah sesuatu yang boleh diterima.

"Saya minta maaf, tapi ini tidak normal di China dan harus disiasat," menurut satu komen di Weibo.

Undang-undang China melarang penggunaan hukuman ganas di sekolah.

Kejadian dan juga kematian yang berkaitan dengan penyalahgunaan fizikal kanak-kanak sekolah juga telah membawa kepada kritikan awam yang meluas sejak kebelakangan ini. -SCMP

rotan , salah laku , fizikal

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ratusan hadiri pengebumian Faziani