suria

Permintaan luar biasa! Wanita mahu beg tangan diperbuat daripada kulit kaki sendiri

Gambar hiasan. Foto HeungSoon/Pixabay

SEORANG wanita berusia 55 tahun dari Manchester, England yang mengalami penyakit arteri periferal bakal kehilangan kaki selepas menjalani pembedahan.

Dia kini mencari seorang pengilang yang sedia untuk membuat beg tangan kulit menggunakan kulit daripada kakinya yang dipotong itu. 

Sewport , platform dalam talian yang menghubungkan jenama dan pengilang, menerima permintaan pelik itu daripada seorang wanita yang mencari pengeluar barangan kulit.

Dia mahu menggunakan kulit daripada kakinya yang akan dipotong atas tujuan perubatan, untuk dijadikan sebagai beg tangan.

Permintaan wanita itu dianggap munasabah kerana sebab-sebab yang diberikannya adalah relevan, dan pencarian pengilang dilakukan.

Lakaran beg tangan menggunakan kulit kaki seorang pesakit. Foto Sewport

Pesakit tersebut tidak boleh menerima hakikat mengenai kakinya yang akan dipotong akan dibiarkan sia-sia selepas pembedahan.

Sehubungan itu, dia perlu merancang sesuatu bagi memastikan bahagian kaki itu dapat disimpan.

"Saya tahu ia mungkin pelik dan jijik, dan ada yang mungkin fikir saya gila. Tetapi ia adalah kaki saya dan saya tidak boleh terima keadaan ia dibiarkan begitu sahaja," tulis wanita yang bernama Joan menerusi mesejnya kepada Sewport.

"Ia merupakan sebahagian daripada saya dan saya mahu menyimpannya," katanya. 

Joan kemudian mengirimkan lakaran beg tangan dengan idea menggunakan kulit kakinya kepada Sewport, bagi menunjukkan betapa serius berhubung permintaannya yang luar biasa itu. - odditycentral

Artikel Lain