suria

Tak pernah berenggang 70 tahun kahwin, warga emas protes larangan jumpa isteri

Dennis Daniels membuat bantahan di luar rumah kebajikan. Foto BPM MEDIA

SEORANG warga emas melakukan protes selepas berang dilarang berjumpa dengan isterinya.

Dia dikatakan tidak pernah sehari pun berpisah dengan isterinya selama perkahwinan mereka selama 70 tahun.

Dennis Daniels mula membuat bantahan di luar rumah kebajikan di Grimsby di England pada Selasa lalu, memberitahu bahawa pengurus rumah tersebut melarangnya berjumpa isterinya, disebabkan dia terlalu bising dan mengganggu.

Pesara berusia 89 tahun itu mendakwa mempunyai beberapa isu di rumah kebajikan itu, termasuk hal penjagaan sejak beberapa bulan, selain kelakuan penghuni lain.

Dennis yang menggunakan kerusi roda berkata, dia tidak dapat menahan lagi rasa tidak puas hati pada malam Isnin, selepas penghuni mula mengetuk pintu Dorine dan menjerit kepadanya.

Dia mendakwa selepas insiden tersebut berlaku, pengurus rumah kebajikan mengarahkannya supaya meninggalkan pusat penjagaan itu.

Dennis yang sentiasa melihat isterinya setiap hari sepanjang perkahwinan mereka mempertikaikan larangan tersebut.

"Saya membuat bantahan di luar rumah kebajikan Anchorage kerana mereka tidak benarkan saya berjumpa dengan isteri.

"Malam Isnin lepas, pengurus memberitahu saya sebanyak empat kali supaya saya meninggalkan 'rumahnya' kerana saya bising dan kasar di saat saya mencuba untuk mendapat bantuan dan memberi sokongan kepada isteri," katanya. 

"Saya rasa pengurus itu perlu bertindak kerana saya bimbang di atas keselamatan saya dan isteri," tambahnya.

Seorang jurucakap Hull-based Hica Group yang mengendalikan Anchorage berkata, Dennis merupakan pelawat yang sering datang ke rumah itu, melihat isterinya setiap hari.

"Mereka mempunyai hubungan yang baik, kita hormatinya. Tetapi kami agak terkejut dengan tindakannya baru-baru ini. Kakitangan kami sentiasa memantau keadaan dan keselamatan penghuni.

"Kami cuba untuk berhubung dengan Dennis dan menghubungi pasukan khidmat sosial tempatam untuk mencari jalan penyelesaian," katanya. - Mirror UK

Artikel Lain