suria

Selepas berendam, wanita ini tak boleh bangun, lima hari 'melekat' dalam tab mandi

Alison Gibson menunjukkan besi pemegang yang sering digunakannya untuk bangun dari tab mandi. -fotoInsideEdition

SEORANG wanita terperangkap dalam tab mandinya selama lima hari selepas tidak mampu untuk mencapai pemegang besi yang biasa digunakan untuk bangun.

Dia diselamatkan oleh seorang posmen yang menyedari bahawa dia tidak mengutip surat-suratnya seperti biasa.

Alison Gibson, 54, dari Michigan terperangkap di bilik mandinya sendiri pada 15 Oktober.

Dia berbaring di dalam tab mandi seperti biasa, tetapi selepas mandi, wanita itu mendapati dirinya tidak dapat mencapai besi yang sering dipegangnya untuk bangun, menyebabkan dirinya terperangkap di situ.

Menjadikan keadaan lebih teruk, pada hari itu dia meninggalkan telefonnya di bilik lain, jadi dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk mendapatkan bantuan.

"Apabila saya masuk ke dalamnya, saya tak dapat keluar," kata Gibson kepada wartawan tempatan WJRT-TV.

"Kerana besi itu berada di belakang saya, saya tak dapat mengalihkan badan saya untuk memegangnya seperti yang biasa saya buat.

"Saya hanya menunggu di situ," katanya yang tinggal bersendirian di kediamannya.

"Apabila sejuk, saya buka air panas. Apabila saya dahaga, saya minum air sejuk. Itu sahaja, selain cuba cari cara untuk keluar."

Malangnya, Gibson gagal keluar dari tab mandi atau menghubungi seseorang untuk mendapatkan bantuan selama lima hari.

Dia mungkin akan terus berada di situ lebih lama lagi. Tetapi pada 19 Oktober, seorang posmen yang selalu menghantar surat ke dalam peti suratnya memberitahu jirannya bahawa Gibson tidak mengambil surat seperti biasa.

Mereka pergi ke belakang rumahnya dan memanggil namanya. Setelah mendengar suara wanita itu yang mahu diberikan bantuan, mereka menghubungi 911.

Pegawai polis masuk ke rumah Gibson melalui tingkap dan selepas membuka pintu ke bilik mandi, mereka mendapati wanita itu dalam keadaan mengiring di dalam tab mandi.

Wanita itu dibawa ke sebuah hospital tempatan dan menjalani pemeriksaan selama empat hari, tetapi 'penjara' luar biasa itu tidak meninggalkan kesan kesihatan yang besar terhadapnya. -InsideEdition

tab mandi, besi, terperangkap

Artikel Lain