suria

Juruterbang 'kantoi' ujian alkohol, sejurus sebelum mulakan penerbangan

Pihak berkuasa mendapat laporan selepas pemandu bas terbau alkohol pada Jumaat. Foto Bloomberg

SEORANG juruterbang warga Jepun mengakui hampir 10 kali ganda melebihi had pengambilan minuman keras, sejurus sebelum memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow di London, kata polis.

Pegawai pertama, Katsutoshi Jitsukawa, 42, ditahan di lapangan terbang selepas gagal dalam ujian alkohol, hanya 50 minit sebelum penerbangan JL44 Japan Airlines (JAL) ke Tokyo.

Dia ketika itu sepatutnya berada di dalam kokpit untuk memulakan penerbangan.

Penyiar Jepun, NHK melaporkan seorang pemandu bas yang membawa kru pesawat, memaklumkan kepada polis selepas terbau minuman keras pada juruterbang berkenaan.

Penerbangan yang menggunakan pesawat Boeing 777 itu membawa sehingga 244 penumpang.

Seorang jurucakap Polis Metropolitan di London berkata, Jitsukawa mengaku bersalah kerana melebihi had pengambilan alkohol di Mahkamah Majistret Uxbridge pada Khamis.

Ujian mendedahkan bacaan alkohol 189mg bagi 100ml darah dalam badannya, hampir 10 kali had 20mg bagi seorang juruterbang.

Had minum beralkohol bagi pemandu di England, Wales dan Ireland Utara adalah 80mg.

Juruterbang tersebut direman dan akan disabitkan di atas pertuduhan di Mahkamah Isleworth Crown pada 29 November depan.

JAL mengeluarkan permohonan maaf dan akan melakukan tindakan segera untuk mengelakkan sebarang kejadian itu berulang, sambil menambah bahawa keselamatan merupakan keutamaan syarikat penerbangan itu. - Mirror Online


Japan Airlines

Artikel Lain