suria

Kaki lelaki hampir terputus berjaya disambung kembali

Kaki Das berjaya diselamatkan selepas melalui pembedahan selama enam jam. - Times of India

BEBERAPA doktor di Hospital RN Cooper, Mumbai berjaya menyelamatkan kaki seorang pesakit lelaki berusia 27 tahun daripada kudung selepas ia terpotong dalam satu kemalangan.

Doktor tersebut berjaya menyambung kembali kaki pesakit, Kunja Das yang tinggal beberapa inci sahaja untuk putus.

Pembedahan kompleks tersebut melibatkan pasukan pembedahan plastik, ortopedik dan jabatan anestesia telah memakan masa selama enam jam.

Lebih 45 hari kemudian, Dan mula kelihatan semakin pulih.

Walaupun pesakit masih belum boleh berjalan atau berdiri, para doktor bersikap optimistik bahawa Das akan kembali menjalani kehidupan normal.

"Saya mula rasa geli dan sakit pada kaki. Saya yakin boleh berdiri, berjalan dan bekerja kembali," kata Das.

Mengimbau kembali kemalangan yang berlaku, Das berkata, mesin pemotong RCC seberat 15 kilogram jatuh ke atas kakinya ketika dia dan dua adik beradik lelakinya bekerja di pangsapuri Juhu.

"Lima atau enam daripada kami memegang mesin
yang besar itu. Ia tergelincir dan terjatuh," katanya.

Kata Das, dia ingat bahawa dia telah dipindahkan ke hospital dengan menaiki kenderaan klien dan mengalami pendarahan teruk.

"Saya ingat hidup saya sudah berakhir. Saya hanya berdoa kepada Tuhan dan kemudian doktor menyelamatkan saya," katanya. - Times of India

Artikel Lain