suria

"Anakku masih hidup"

SAN PEDRO SULA: Seorang ibu yang menjalankan upacara pengebumian untuk bayinya yang disahkan meninggal dunia di sebuah hospital mendapati anaknya itu masih hidup.

Bayi berusia tujuh bulan, Keilin Johanna Ortiz Montoya dimasukkan ke Hospital Rivas di Villanueva, Honduras pada 3 Ogos lalu kerana mengalami sawan, cirit-birit, penghidratan teruk dan kulit melepuh disebabkan jangkitan bakteria.

Keilin disahkan 'meninggal dunia' tiga hari kemudian dan sijil kematian turut dikeluarkan oleh hospital berkenaan.

Sedih dengan berita itu, Ivis Montoya membawa pulang 'mayat' bayinya ke rumah sepupunya sebelum dibawa ke gereja berhampiran untuk upacara pengebumian.

Ketika 'mayat' anak kecilnya dibaringkan di atas sebuah kerusi kerana tidak mampu membeli keranda, si ibu menyedari anaknya masih bernafas lemah.

Menurut media tempatan, Keilin kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum Ivis dinasihati untuk membawa anaknya itu semula ke hospital.

Bayi malang terbabit diberikan rawatan segera namun keadaanya dilaporkan serius.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik, Elba Campos berkata, insiden itu kini dalam siasatan.

bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain