suria

Lelaki ini menderita, tinggal dalam kereta kerana kekasih 'psiko teruk'

-foto Hull Daily Mail

SEORANG lelaki sanggup berpindah dari Amerika Syarikat ke Britain untuk bersama seorang wanita yang ditemui ketika bermain poker dalam talian.

Bagaimanapun dia kini memutuskan untuk tinggal di dalam kereta gara-gara mahu melarikan diri dari kekasihnya itu yang didakwa mengongkongnya dan bersikap ganas.

Robin C, 59, mula berbual dengan wanita 'pelik' itu dalam talian dan selepas beberapa bulan hubungan mereka bertukar romantis.

Segala-galanya berjalan 'indah', sehinggalah satu ketika wanita itu mengugut untuk menghantar gambar tidak senonoh lelaki itu kepada bosnya di AS jika dia tidak pergi ke Hull untuk berjumpa dengannya.

Caranya dan ugutannya itu dirasakan agak pelik tetapi Robin beranggapan apa yang dilakukan wanita itu didorong keinginannya untuk bersama dengannya. Dia bagaimanapun tidak menurut permintaan wanita itu.

Ketika percintaan dalam talian mereka menjadi lebih serius, Robin memutuskan untuk meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera di AS dan berpindah ke Hull untuk bersama kekasihnya.

Pada mulanya, hubungan mereka berjalan lancar tetapi tidak lama kemudian semuanya mula berubah.

"Dia sentiasa periksa telefon saya dan sepanjang masa tanya saya di mana dan dengan siapa saya bercakap.

"Dia juga meletakkan lokasi di telefon saya supaya dia dapat tengok di mana saya berada," kata Robin kepada Hull Daily Mail.

"Dia tak percaya bila saya kata beli barangan runcit dan akan periksa bil, buka penyata bank dan tuduh saya hantar wang kepada wanita lain di Amerika."

Pada satu ketika, wanita itu mula bertindak ganas apabila dia memukul dan menggigit Robin lebih dari satu kali.

Robin mendakwa dia terpaksa keluar rumah beberapa kali, tetapi dia akan menghubunginya untuk minta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Kemudian dia akan memberitahu betapa dia dan cucu-cucunya merindui Robin dan lelaki itu akhirnya akan 'cair' dengan pujukannya.

Tetapi keadaan bertambah buruk.

Wanita yang suka mengongkong itu mula memeriksa dirinya di tempat kerja untuk memastikan sama ada betul dia berada di sana dan kadang-kadang berpura-pura keluar, tetapi sebenarnya bersembunyi di dalam rumah untuk melihat apa yang Robin lakukan di belakangnya.

"Jika saya bekerja syif panjang selama 12 jam dan diberi cuti sehari, dia akan datang keesokan harinya untuk beritahu dia mahu pergi kerja," kata lelaki itu.

"Saya akan bangun seperti biasa, menonton televisyen dan buat hal saya macam biasa.

"Kemudian dia akan muncul dari bilik tidur lain dan memberi beberapa alasan tidak pergi kerja, misalnya tak sihat.

"Ada satu masa dia tersembunyi di bawah almari tangga dan mendakwa tertidur di situ."

Robin akhirnya tidak tahan lagi dan baru-baru ini nekad untuk meninggalkan segala-galanya.

Dia kini tinggal di dalam kereta, sehingga dia dapat mencari tempat tinggal dan berharap derita kemurungannya akan hilang.

Dia mendedahkan pengalamannya untuk memberi inspirasi kepada lelaki lain yang menderita akibat berdepan teman wanita yang berperangai sama. Dia juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang dikenali dalam talian.

"Saya tak mahu wanita seperti bekas kekasih saya itu fikir mereka boleh layan orang lain seperti ini dan sentiasa boleh ikut kehendak mereka," kata Robin.

"Terdapat sokongan di luar sana jika anda memerlukannya. Dan, jangan sesekali kembali. Mereka janji akan berubah, tetapi mereka sesekali tidak akan berubah." -Metro

kekasih, psiko, derita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain