suria

Laluan perarakan Harry-Meghan berisiko diserang pengganas

PIHAK polis mendedahkan kebimbangan berhubung aspek keselamatan apabila Putera Harry dan Meghan Markle meminta untuk dibawa menaiki kenderaan tidak berbumbung pada hari perkahwinan mereka.

Ketua pasukan keselamatan menyuarakan kerisauan itu kerana mereka berpontensi menjadi sasaran penembak hendap.

Sumber kanan polis memberitahu Sunday Times bahawa laluan perarakan pengantin mempunyai masalah keselamatan dan berpontensi menjadi seperti kota Sarajevo ketika orang awam terbunuh dalam  serangan hendap pada 1990-an.

Bekas ketua keselamatan diraja di Scotland Yard, Dai Davies berkata, laluan itu menyukarkan mereka untuk bertindak sekiranya berlaku serangan.

"Dari sudut pandang perlindungan keselamatan, penggunaan laluan Winsdor High Street agak membimbangkan.

"Memang banyak risiko keselamatan di situ dan sukar untuk memindahkan pasangan pengantin diraja serta orang ramai jika sesuatu berlaku," ujar Davies.

Upacara pada 19 Mei itu bakal melibatkan 3,000 pegawai polis.

Malah, bilangan anggota yang ditempatkan tiga kali ganda lebih ramai berbanding perkahwinan Putera Charles dan Camilla di lokasi sama pada 2005.

Lebih 40 askar SAS bersama pegawai polis dari pasukan anti pengganas dan pasukan keselamatan  diraja berkumpul di sana bagi memastikan keselamatan berada pada tahap tertinggi.

Dengan potensi serangan pengganas termasuk Al-Qaeda dan pengganas republik Ireland, penembak tepat mula berjaga di bumbung-bumbung bangunan.

Pegawai-pegawai keselamatan turut melakukan penyamaran dan beramah mesra dengan orang ramai sebagai sebahagian daripada operasi besar-besaran untuk mengelakkan sebarang insiden buruk.

Seperti sewaktu pengkebumian Puteri Diana, semua cuti anggota polis di Thames Valley telah dibekukan.

Kamera CCTV tambahan mula dipasang dan orang ramai yang melalui kawasan itu juga perlu melalui mesin pengimbas badan.

Minggu lalu, pihak polis turut merayu kepada orang ramai supaya menjadi 'mata dan telinga' mereka untuk membantu mengekang pengganas kerana bacaan tahap ancaman menujukkan kemungkinan akan berlaku serangan.

Sementara itu, pernikahan Putera William dan Kate Middleton pada 2011 dikatakan lebih mudah untuk dikelola kerana kawasannya mempunyai  jalan yang lebih luas tanpa bangunan tinggi berbanding upacara pada 19 Mei ini.-Mirror.uk



Meghan, Harry

Artikel Lain