suria

Michelle Yeoh Anggap Nasib Menimpa Etnik Rohingya Sungguh Tragik

TERKEJUT dan terharu menyaksikan nasib yang menimpa ratusan ribu etnik Islam Rohingya, demikian luahan rasa bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu menyaksikan sendiri situasi rakyat Myanmar yang melarikan diri dari negara asal ketika menyertai delegasi negara untuk misi bantuan ke Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh.

Ia merupakan sebahagian daripada bantuan kemanusiaan yang dihulurkan Malaysia  kepada masyarakat etnik Rohingya.

Delegasi yang diketuai Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohammed Noor, dilepaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pangkalan Tentera Udara pagi Sabtu.

"Adalah penting untuk kami ke sini kerana apa yang dilalui etnik Rohingya sungguh tragik. Ia tidak seharusnya dibiarkan berlaku.

"Setiap seorang daripada mereka perlu mendapat hak asasi kemanusiaan," katanya.

Setakat ini, hampir 700,000 etnik Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar sejak Ogos lalu.

Menerusi entri di akaun Instagramnya, Michelle memuat naik gambar beliau di tangga pesawat karga milik tentera udara dan gambar barangan bantuan kemanusiaan.

"Menuju ke Bangladesh untuk melawat hospital dan kem pelarian di sana," kata kapsyen dalam gambar yang dimuat naik itu bersama hashtag #proudmalaysian #bangladesh, #undp, #malaysia dan #charity.

Michelle yang juga merupakan duta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), sebelum ini pernah melakonkan watak Canselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam filem 'The Lady' yang ditayangkan pada 2011.

Filem itu diarahkan oleh sutradara Luc Besson.

Sewaktu proses pembikinan filem itu, Suu Kyi disanjung pemerhati antarabangsa kerana perjuangannya menegakkan demokrasi di negara tentera tersebut.

Bagaimanapun, selepas parti politik pimpinan Suu Kyi mendapat tempat dalam pentadbiran Myanmar, imej positif itu semakin terhakis apabila Suu Kyi gagal menangani isu kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya yang ditindas di negara tersebut.


Michelle Yeoh, Rohingya

Artikel Lain