suria

Ular Sawa Telan, Kemudian 'Muntah' Ayam Jantan

Paparan skrin video seekor ular sawa terpaksa mengeluarkan semula ayam jantan yang ditelannya. -viralpress

SANGKAAN seorang petani bahawa dua ekor ayam jantannya hilang salah kerana ia sebenarnya telah ditelan seekor ular sawa berukuran 15 kaki panjang.

Nut Wattana yang menetap di Pathum Thani, Thailand bangun pagi dan menyedari dua ayamnya tiada.

Dia pada mulanya menyangka haiwan peliharaannya itu mungkin terlepas lari tetapi terkejut apabila melihat seekor ular sawa tergantung di bumbung dengan benjolan besar di bahagian perutnya.

Dia meminta bantuan penyelamat untuk cuba menyelamatkan ayam tersebut daripada terus dibaham ular sawa itu.

-fotoViralPress

Dan rakaman ular dengan perut terbonjol itu menunjukkan bagaimana reptilia maut ini perlahan-lahan memuntahkan mangsa.

Rakaman video menunjukkan penyelamat meletakkan ular sawa tersebut di atas tanah dan dengan menggunakan batang logam, mereka memaksa ular itu untuk mengeluarkan ayam jantan yang dibahamnya.

Dengan mulutnya yang ternganga luas dan gigi yang tajam dapat dilihat, kaki ayam jantan dikeluarkan sedikit demi sedikit dari mulutnya.

Perlahan-lahan, badan ular mula berkontraksi dan beberapa minit kemudian lebih banyak bahagian ayam yang sudah tidak bernyawa itu dikeluarkan.

-fotoViralPress

Diselaputi lendir, badan berbulu ayam tersebut mula tergelincir keluar apabila ular sawa tersebut mundur dan akhirnya melepaskan kepalanya.

Wattana berkata seekor lagi ayamnya juga ditemui mati di kawasan berhampiran apabila kedua-duanya hilang pada 27 Disember.

-fotoViralPress

"Saya tidak mendengar bunyi dua ayam ini di pagi hari jadi pergi mencarinya.

"Saya nampak ular sawa itu telah makan salah seekor ayam saya yang kedua-duanya berharga kira-kira 30,000 baht (£690).

"Saya tidak dapat menyelamatkan kedua-duanya yang merupakan kegemaran saya. Nasib baik saya ada banyak lagi ayam dan ayam jantan.

"Saya maafkan ular itu kerana ia adalah naluri semulajadinya."

Wattana 'memaafkan' ular sawa ini atas alasan 'naluri semulajadi'. -fotoViralPress

Ular sawa biasanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mencerna ayam jantan bersaiz itu dan boleh bertahan beberapa minggu tanpa makanan lain jika tidak diganggu.

Tetapi ular sawa ini perlu mencari makanan lain selepas ia terpaksa memuntahkan semula ayam jantan tersebut.

Apabila ia dikeluarkan, para penangkap ular profesional memberi sedikit masa untuk pulih.

Ia kemudian dibungkus dan dibawa ke hutan untuk dibebaskan. -mirror

ular sawa, ayam jantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Enam Cedera Nahas Belon Udara

Artikel Lain