suria

Enam Cedera Nahas Belon Udara

ENAM cedera dalam kejadian nahas melibatkan belon udara panas di wilayah Hunter pada Sabtu pagi.

Perkhidmatan yang popular dalam kalangan pelancong itu dinaiki sehingga 15 penumpang apabila ia tersangkut pada semak ketika cuba mendarat berdekatan Cessnock.

Belon udara panas itu gagal mendarat dengan baik berhampiran Camp Road di luar kawasan Greta, kira-kira 21 kilometer di utara Cessnock.

Seorang mangsa berusia 20 tahun telah dirawat kerana mengalami masalah tulang belakang, manakala warga tua berusia 80 tahun pula mengalami keretakan di beberapa bahagian tubuh.

Selain itu, empat mangsa mengalami cedera ringan, kata polis.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada angin kencang dan perubahan arah angin di sekitar kawasan itu.

Susulan itu penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian menerusi laluan darat dan udara.

Siasatan kejadian juga telah mula dilaksanakan Biro Keselamatan Pengangkutan Udara.

Jurucakap Beyong Ballooning, iaitu syarikat belon udara panas yang beroperasi di sekitar Hunter berkata, jurumudi telah memutuskan untuk membatalkan penerbangan pada pagi Sabtu.

Bagaimanapun syarikat berkenaan tidak mendedahkan punca pembatalan penerbangan itu.

Awal bulan ini, pasangan Australia antara yang terselamat dalam kemalangan belon udara panas di Mesir yang mengakibatkan seorang pelancong Afrika Selatan maut.

Pada 1989, 13 nyawa terkorban di Alice Springs dalam kejadian belon air panas terhempas.

belon udara panas, Cessnock

Artikel Lain